Latihan industri adalah merupakan satu komponen utama dalam ko-kurikulum pembelajaran di Politeknik. Pelajar disyaratkan lulus latihan industri sebelum ini diperakui untuk penganugerahan diploma dimana-mana pusat pengajian. Pelajar akan ditempatkan di jabatan - jabatan kerajaan atau syarikat - syarikat swasta selama 20 minggu bagi mendedahkan mereka kepada suasana pekerjaan yang sebenar serta berbeza dari suasana di pusat pengajian. Pelajar akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah yang belum pernah di tempuhi.
Antara objektif latihan industri diadakan adalah untuk membina personaliti individu. Para pelajar dapat memberikan pandangan dan idea-idea yang bernas di samping melahirkan individu yang berkeyakinan tinggi dan berani menyahut cabaran dalam apa jua keadaan. Selain itu, latihan industri mendidik pelajar untuk berkomunikasi dengan berkesan. Para pelajar didedahkan dengan persekitaran tempat kerja dan orang ramai. Pelajar juga dapat mempelajari cara berkomunikasi dengan kakitangan jabatan, pelanggan dan sebagainya dengan lebih berkeyakinan serta berkesan. Mengharungi era globalisasi yang semakin pesat, para pelajar diberi peluang untuk membuat persediaan lebih awal sebelum menempuhi alam pekerjaan yang sebenar. Dengan pendedahan awal yang diberikan ini membolehkan pelajar bersiap sedia menceburi alam pekerjaan yang lebih mencabar mental dan fizikal.
Di samping itu, latihan industri menggalakkan para pelajar mengamalkan etika dan peraturan kerja dengan baik. Pelajar-pelajar diingatkan supaya lebih berdisiplin agar tidak melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh firma atau jabatan. Justeru itu, pelajar akan mengamalkan etika dan peraturan kerja yang baik. Dengan pengetahuan yang sedia ada, sedikit sebanyak membantu pelajar melaksanakan tugasan dengan baik serta mengetahui objektif sebenar sesuatu tugasan yang perlu dilaksanakan. Para pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan teori yang dipelajari di kelas dengan melakukan kerja-kerja praktikal. Latihan industri juga menanamkan semangat kerja berpasukan dan perhubungan yang baik sesama pekerja. Apabila sesuatu tugasan diberi dan memerlukan semangat kerja berpasukan sekali gus mampu membentuk perhubungan yang baik antara pekerja-pekerja.
Seterusnya, menyemai amalan berhemah dan sikap bertanggungjawab dalam diri. Para pelajar dapat menilai kebolehan diri dalam melaksanakan kerja yang telah diamanahkan. Di samping itu, pelajar dapat menyemaikan nilai-nilai murni seperti berintegriti selaras dengan objektif latihan industri. Menghasilkan laporan latihan industri. Mendidik dan melatih pelajar menulis dengan baik dan kemas agar dapat menghasilkan laporan yang berkualiti. Selepas menjalani latihan industri ini, pelajar dikehendaki menyediakan sebuah laporan seperti yang ditetapkan oleh pihak Politeknik. Ia merupakan sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh pihak Politeknik untuk lulus dalam latihan industri tersebut. Laporan yang disediakan hendaklah berkaitan dengan kerja-kerja yang telah dilakukan semasa menjalani latihan industri di organisasi tersebut.