Latihan Industri adalah salah satu syarat wajib bagi pelajar dalam program-program tertentu di semua peringkat pengajian tinggi di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Program Latihan Industri (LI) diperkenalkan untuk memperkasa kompetensi yang diperlukan untuk meningkatkan tahap mampu kerja para graduan. Kursus Latihan Industri memberi peluang kepada pelajar merasai pembelajaran di dunia pekerjaan sebenar supaya dapat mencapai kebolehpasaran yang tinggi.
Kursus ini memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dari segi perkembangan teknologi, komunikasi yang berkesan, amalan kerja berpasukan, polisi, prosedur, peraturan-peraturan serta perspektif dan etika profesional organisasi. Selain itu, kursus ini membina semangat dan sikap proaktif di kalangan pelajar dan seterusnya meningkatkan keyakinan untuk menjadi pelatih yang cemerlang.
Unit Perhubungan Latihan Industri Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang telah diberi tanggungjawab untuk menempatkan para pelajar yang akan menjalani latihan industri di jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat swasta yang sudi menempatkan para pelajar di tempat mereka. Oleh itu, para pelajar boleh mempraktikkan ilmu teori yang dipelajari untuk digunakan sebaik mungkin di alam pekerjaan yang sebenar sambil menimba pengalaman serta memperluaskan ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi.
Konklusinya, latihan industri ini banyak memberi pengalaman dan sedikit sebanyak dapat membuka minda pelajar agar dapat menilai sesuatu pekerjaan dari perspektif yang positif. Diharapkan pelajar membuat persediaan rapi dengan memantapkan ilmu akademik, memperbaiki kelemahan diri seperti cara berkomunikasi dan mewujudkan keyakinan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar.